selamat datang

disini anda aman dan nyaman, anda bisa nonton anda bisa dinger musik anda bisa membaca blog terbaru kami, semua khas untuk anda.

#kosong.

Selasa, 27 September 2011



Rabu, 21 September 2011

































sejarah berdirinya melaka

Pemerintah Pertama Melaka : Parameswara (1394-1414)




Parameswara merupakan seorang putera raja dari Palembang. Pada tahun 1390, baginda telah berkahwin dengan seorang puteri kepada Maharaja Majapahit dan menjadi pendukung setia kepada bapa mertuanya. Tidak lama kemudian, Parameswara telah mengingkari janji setianya kepada Maharaja Majapahit, yang terus menghantar panglima perangnya untuk menghalau Parameswara dari Sumatera. Parameswara melarikan diri ke Tumasek, iaitu nama lama Singapura bersama kaum keluarga dan pengikutnya. Pada waktu itu, Singapura di perintah oleh seorang Gabenor Melayu dari Patani yang dilantik oleh Raja Siam. Gabenor tersebut telah memberikan layanan yang baik kepada Parameswara tetapi Parameswara telah membunuh Gabenor itu beberapa hari kemudian dan mengisytiharkan dirinya sebagai Pemerintah Singapura dan pulau-pulau di sekelilingnya. Parameswara telah memerintah Singapura selama lima tahun dengan cara pemerintahan seumpama seorang ketua lanun.
Pada pertengahan kurun ke-14, Kerajaan Siam yang pada ketika itu sedang mengembangkan kuasa jajahannya di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu hingga ke negeri Pahang, telah gagal untuk meluaskan kekuasaannya di Singapura walaupun beberapa percubaan telah dibuat untuk menyerang Singapura. Ini adalah kerana pada ketika itu kerajaan Majapahit berada di kemuncak kekuasaannya dan kekuatannya pula ditakuti oleh kerajaaan lain di kepulauan Melayu. Beberapa negeri di sepanjang Selat Melaka termasuk Tumasek atau sekarang ini Singapura, berada di bawah kekuasaan Majapahit. Sebuah angkatan laut Jawa dari Majapahit pernah menyerang Singapura semasa pemerintahan Parameswara. Setelah mengalahkan Singapura, mereka telah kembali ke tanah Jawa. Adalah dipercayai bahawa serangan yang dilakukan oleh Majapahit ke atas Singapura bukanlah faktor kejatuhan kerajaan Singapura dan larinya Parameswara dari Singapura tetapi sebaliknya Parameswara terus memerintah kerajaannya yang semakin merosot.

Apabila Parameswara gagal menubuhkan sebuah kerajaan di dua buah tempat di Muar, iaitu di Biawak Busuk dan Kota Buruk, baginda telah membawa pengikutnya ke suatu tempat yang bernama Sening Ujung atau sekarang ini dikenali sebagai Sungei Ujong. Parameswara meneruskan perjalanannya hingga sampai ke muara Sungai Bertam, di mana baginda telah menubuhkan kerajaan Melaka dan menjadi pemerintah pertama sekitar tahun 1394. Walau bagaimanapun, pada ketika itu, Parameswara masih lagi menganut agama Hindu. Justeru, penubuhan kerajaan Melayu di Melaka merupakan kesinambungan daripada kerajaan Melayu di Singapura yang telah jatuh.

Selepas Melaka ditubuhkan, Parameswara mula membangunkan kawasan itu dan mengarahkan penduduknya untuk bercucuk-tanam dengan tanaman pisang, tebu, ubi keladi dan lain-lain tanaman sebagai sumber makanan. Baginda sendiri turut menjalankan perniagaan di Melaka. Dalam masa yang singkat, berita tentang kota Melaka telah tersebar ke seluruh Malaya, Sumatera, Jawa dan India, yang menyebabkan ramai pedagang datang ke Melaka untuk berdagang. Dua tahun selepas Parameswara membuka Melaka, penduduknya telah berkembang seramai dua ribu orang.

Tidak lama kemudian, berita tentang kota Melaka yang menjadi sebuah pusat perdagangan telah sampai ke China. Yung-Lo, Maharaja China yang memerintah dari tahun 1402 sehingga tahun 1424, telah menghantar utusannya yang bernama Ying Ching ke Melaka pada tahun 1405. Kedatangan Ying Ching telah membuka jalan dalam membentuk hubungan persahabatan di antara Melaka dan China. Pedagang-pedagang Cina mula singgah di pelabuhan Melaka dan mereka boleh dikatakan antara pedagang yang paling awal menubuh pengkalan di Melaka. Ketika perwakilan dari Melaka mengadakan lawatan hormat kepada Maharaja China, baginda telah memuji Parameswara dan mengiktiraf Parameswara sebagai pemerintah yang sah di Melaka. Maharaja Yung Lo kemudiannya menghadiahkan Parameswara dengan sebuah lambang kebesaran, sutera dan sekaki payung kuning sebagai tanda kerabat diraja, serta sepucuk watikah pelantikan Parameswara sebagai pemerintah Melaka. Melaka seterusnya diiktiraf sebagai sebuah kerajaan oleh Maharaja China. Perwakilan tersebut telah pulang ke Melaka bersama sebuah angkatan kapal yang diketuai oleh Laksamana Cheng Ho, orang Cina yang pertama berlayar dan mengembara ke kawasan selatan ini.

Pada zaman pemerintahan Parameswara inilah, ramai orang Jawa, India, Cina, Burma dan lain-lain telah datang untuk menetap di Melaka. Pada tahun 1409, Parameswara telah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Parameswara Iskandar Syah. Dua tahun kemudian, pada tahun 1411, Parameswara Iskandar Syah bersama permaisurinya, puteranya serta rombongan diraja seramai 540 orang telah berangkat ke China mengikuti Laksamana Cheng Ho untuk mengadakan lawatan hormat kepada Maharaja Yung Lo.

Pada tahun 1414, Parameswara telah mangkat dan makamnya dipercayai terletak di puncak sebuah bukit di Tanjung Tuan, yang juga dikenali sebagai Cape Rachado. Parameswara telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan yang maju sepanjang pemerintahanannya selama dua puluh tahun. Baginda juga telah menjalinkan hubungan yang kukuh dengan Maharaja China dengan menghantar seramai enam orang utusan/perwakilan ke China.





Selepas kemangkatan Parameswara pada tahun 1414, baginda telah digantikan oleh anakandanya Raja Ahmad yang juga dikenali dengan nama Raja Besar Muda sebagai pemerintah kedua Melaka. Baginda digelar Sultan Megat Iskandar Syah. Sepanjang pemerintahannya, baginda telah membuat dua lawatan ke China bagi mendapatkan pengiktirafan dari Maharaja China serta mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemerintah Melaka.


Melaka terus berkembang maju di bawah pemerintahan Sultan Megat Iskandar Syah. Dua kawasan perlombongan bijih timah dijumpai di bahagian utara Melaka di mana kawasan ini dikawal rapi oleh pengawal diraja. Pada ketika itu, bijih timah digunakan sebagai matawang di Melaka. Kebanyakan daripada tongkang dari China yang singgah di Melaka dikenakan cukai. Kayu arang dan damar dihasilkan di kawasan hutan. Pokok sagu boleh didapati di ladang-ladang sementara di kawasan muara dan pantai pula dipenuhi oleh pokok nipah. Pelbagai jenis tanaman seperti pisang, tebu, ubi keledek, ubi keladi, nenas dan ubi kentang diusahakan serta berbagai jenis sayuran seperti bawang, halia, sawi, labu dan tembikai juga ditanam. Binatang ternakan seperti itik, ayam, kerbau dan kambing turut diternak. Akan tetapi, penternakan kerbau dan kambing sangat jarang pada ketika itu, disebabkan oleh harga pasaran yang tinggi. Kota Melaka dilindungi oleh tembok yang dibina sepanjang kawasan pantai. Tembok tersebut mempunyai empat buah pintu yang setiapnya dikawal rapi oleh para pengawal. Sebuah kubu berpagar turut dibina di dalam kawasan kota Melaka di mana beberapa gudang digunakan sebagai pusat perbendaharaan dan pembekalan kerajaan.



Sultan Megat Iskandar Syah bersama permaisuri, putera dan pegawai-pegawai kanannya telah mengadakan lawatan rasmi kedua ke China. Semasa lawatan tersebut, Sultan Melaka telah memohon bantuan daripada Maharaja China bagi menentang kekerasan dari pihak kerajaan Siam. Sehubungan itu, pada tahun 1419, Maharaja China telah menghantar perwakilannya ke Siam untuk memberi amaran agar tidak mengganggu Melaka. Hubungan di antara Maharaja China dan Sultan Melaka juga turut diperkukuhkan lagi dengan penghantaran beberapa perwakilan yang diketuai oleh putera-putera Melaka pada tahun 1420, 1421 dan 1423. Pada tahun 1424, Sultan Megat Iskandar Syah telah mangkat.


Pada tahun 1424, selepas kemangkatan Sultan Megat Iskandar Syah, putera baginda Raja Tengah, juga dikenali sebagai Radin Tengah, telah ditabalkan sebagai pemerintah ketiga Melaka. Pada tahun yang sama, Raja Tengah dan permaisurinya mengadakan lawatan pertama mereka ke China bagi tujuan memaklumkan kepada Maharaja China tentang kemangkatan ayahandanya dan juga pertabalan baginda sebagai Sultan. Pada tahun 1433, Raja Tengah bersama permaisuri, putera-puteri dan adindanya bernama Radin Bala berserta rombongan diraja seramai 228 orang berangkat ke China mengikuti angkatan laut Cheng Ho. Mereka telah tinggal di China selama dua tahun. Bermula dari tahun 1434, kerajaan China telah membuat perubahan polisi dengan mengurangkan tumpuan terhadap negara-negara lain termasuk Asia Tenggara.
Pada zaman pemerintahan Raja Tengah, seorang tokoh agama bernama Saiyid Abdul Aziz telah datang ke Melaka untuk mengembangkan ajaran Islam. Sultan Melaka dan pegawai-pegawai kanannya serta orang-orang Melayu Melaka menerima ajarannya. Dia juga mencadangkan agar Raja Tengah menggunakan nama Islam iaitu Sultan Muhammad Syah. Sejurus kemudian, Sultan Muhammad Syah telah melantik beberapa orang pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam pentadbiran dalaman. Di antara mereka yang dilantik adalah seorang Bendahara, yang digelar Seri Wak Raja; adinda Sultan Radin Amin dilantik sebagai Perdana Menteri dan diberi gelaran Seri Amar Diraja. Tun Perpatih Besar, anak Tun Perpatih Permuka Berjajar dari Singapura, dilantik sebagai Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja. Seri Nara Diraja telah mengahwini anak kepada Seri Wak Raja dan mendapat seorang anak perempuan bernama Tun Ratna Sandari.

Mani Purindan, orang kaya dari India telah datang ke Melaka berserta angkatan tujuh buah kapal dan telah disambut dengan baik oleh Sultan Muhammad Syah yang menganggap tarafnya seperti seorang menteri. Mani Purindan kemudiannya menjadi menantu kepada Seri Nara Diraja apabila berkahwin dengan anaknya Tun Ratna Sandari. Mereka mendapat seorang anak lelaki bernama Tun Ali dan seorang anak perempuan bernama Tun Wati. Tun Wati pula telah dikahwinkan dengan Sultan Muhammad Syah dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Kassim. Sultan Muhammad Syah kemudiannya berkahwin dengan anak perempuan kepada pemerintah Rokan dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Ibrahim. Walaupun Raja Ibrahim lebih muda dari Raja Kassim, beliau telah dilantik menjadi Raja Muda Melaka oleh Sultan Muhammad Syah atas permintaan ibundanya, iaitu puteri Rokan, yang merupakan Sultanah Melaka. Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah juga, Tun Ali, anak Mani Purindan, dilantik sebagai Bendahari Melaka bergelar Seri Nara Diraja, menggantikan datuknya Seri Nara Diraja Tun Perpatih Besar.

Di samping membuat perlantikan beberapa orang pegawai kanan, Sultan Muhammad Syah juga merupakan pemerintah pertama memperkenalkan pelbagai adat resam dan larangan terhadap darjat Diraja di Melaka. Di antara adat resam itu ialah penggunaan payung, persidangan di istana, pemberian hormat, tatacara kedatangan dan pemergian perwakilan, penganugerahan darjah, keberangkatan diraja, upacara menghadap diraja, upacara santapan diraja, keberangkatan diraja ke masjid dan sambutan Hari Raya.

Di antara larangan yang dikeluarkan kepada orang kebanyakan oleh Sultan Muhammad Syah termasuklah penggunaan warna dan bahan kuning, pembinaan rumah atau sampan, pemakaian keris, emas dan perhiasan serta jenis pakaian yang boleh dipakai oleh orang kebanyakan. Barangsiapa yang tidak mematuhi larangan yang dikeluarkan akan dikenakan denda yang dipanggil denda pati. Adat dan larangan yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah masih digunapakai oleh pemerintah Melayu sehingga kini akan tetapi pada tahap yang lebih ringan.

Pada tahun 1444, Sultan Muhammad Syah telah mangkat setelah memerintah Melaka selama dua puluh tahun. Beliau telah meninggalkan dua orang putera iaitu Raja Kassim, anakandanya bersama Tun Wati dan Raja Ibrahim, anakandanya bersama puteri Rokan.



Setelah kemangkatan Sultan Muhammad Syah pada tahun 1445, Raja Ibrahim, anakandanya bersama Puteri Rokan, telah ditabalkan sebagai pemerintah keempat Melaka dan diberi gelaran Sultan Abu Syahid. Tun Ali telah dilantik sebagai Bendahari Melaka bergelar Seri Nara Diraja, menggantikan datuknya Seri Nara Diraja Tun Perpatih Besar. Walaupun Sultan Abu Syahid merupakan pemerintah Melaka, kuasa pemerintahan sebenarnya terletak di tangan Raja Rokan, sepupu ibundanya yang telah datang menetap di Melaka sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Syah. Dalam jangkamasa tersebut, Melaka seolah-olah diperintah oleh Raja Rokan yang sentiasa berdamping dengan Sultan Abu Syahid. Akibatnya, pegawai-pegawai kanan Melaka mula membenci Raja Rokan. Raja Rokan tidak membenarkan Raja Kassim, anakanda Sultan Muhammad Syah bersama Tun Wati, menetap di istana. Raja Kassim telah dipaksa untuk meninggalkan istana dan meneruskan hidup sebagai seorang nelayan. Tiada sesiapapun, melainkan memandanya Tun Ali, yang mengambil berat terhadap dirinya dan melindunginya dari sebarang ancaman.


Justeru, Raja Kassim kemudiannya telah berpakat dengan memandanya Seri Nara Diraja untuk menentang Raja Rokan. Perancangan mereka mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk Melaka yang sememangnya tidak menyukai Raja Rokan. Seri Nara Diraja dan Raja Kassim juga telah memperdaya Bendahara Melaka untuk menyebelahi mereka. Satu serangan telah dilakukan pada waktu malam di istana, dan terjadilah satu pertarungan diantara pengikut Sultan Abu Syahid dan penduduk Melaka yang diketuai oleh Raja Kassim, Bendahara dan Seri Nara Diraja Tun Ali. Sewaktu serangan tersebut, Raja Kassim dan Seri Nara Diraja Tun Ali cuba untuk memisahkan Sultan Abu Syahid daripada Raja Rokan, tetapi tidak berjaya. Apabila Raja Rokan ditikam oleh salah seorang penyerang, dia dengan pantas bertindak balas menikam Sultan Abu Syahid. Akibatnya, kedua-dua Sultan Abu Syahid dan Raja Rokan telah terbunuh dalam serangan itu, yang berlaku pada tahun 1447. Kemangkatan Sultan Abu Syahid, walaupun tidak dirancang, merupakan perkembangan yang penting dalam sejarah Melaka kerana ia telah memastikan kesinambungan dan kestabilan politik di Melaka.


Raja Kassim, anakanda Sultan Muhammad Syah bersama Tun Wati, telah ditabalkan sebagai pemerintah kelima Melaka setelah kemangkatan Sultan Abu Syahid. Baginda bergelar Sultan Muzaffar Syah. Setelah pertabalan baginda sebagai pemerintah Melaka, Sultan Muzaffar Syah telah mengarahkan pegawai kanannya untuk melaksanakan segala adat istiadat, tradisi dan larangan yang diperkenalkan oleh almarhum ayahandanya. Sultan Muzaffar Syah mengahwini anak Seri Amar Diraja, iaitu Perdana Menteri ketika itu dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Abdullah.


Apabila Bendahara Seri Wak Raja (I) meninggal dunia, Sultan telah melantik Tun Perpatih Serdang, anak kepada Allahyarham Bendahara, sebagai Bendahara Melaka dan diberi gelaran Seri Wak Raja (II). Akan tetapi, Seri Wak Raja (II) telah mengambil nyawanya sendiri dengan meminum racun apabila beliau tersalah anggap yang Sultan telah murka kepadanya. Beliau meninggalkan seorang anak perempuan, Tun Kudu dan dua anak lelaki, Tun Perak dan Tun Perpatih Putih. Sultan Muzaffar Syah kemudiannya mengahwini Tun Kudu. Tun Perak yang pada ketika itu tidak memegang sebarang jawatan di Melaka telah dihantar oleh Sultan Muzaffar Syah untuk mejadi ketua di Kelang. Seri Nara Diraja pula memegang jawatan sebagai Bendahara Melaka.



Ancaman yang mendatang dari Ayuthia, ibu negara Siam, menjadi kenyataan dengan terjadinya serangan ke atas Melaka melalui jalan darat pada tahun 1446. Tun Perak membawa orang-orangnya dari Kelang ke Melaka untuk menangkis serangan Siam. Daya pertimbangan dan kepimpinan beliau yang hebat telah menarik perhatian Sultan. Baginda yang mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat Melaka terus berkembang maju, telah melantik Tun Perak sebagai Bendahara.



Peningkatan Tun Perak di persada politik telah mencetuskan ketegangan di antara beliau dan Tun Ali. Melihat persengketaan di antara dua pemimpin kesayangannya ini boleh membawa kepada perpecahan di kalangan penduduk Melaka, Sultan Muzaffar Syah telah mengadakan perbincangan dengan Tun Ali, yang merupakan seorang duda yang telah berumur pada ketika itu. Tun Ali bersetuju untuk meneruskan peranannya dengan syarat beliau dibenarkan untuk mengahwini Tun Kudu, yang merupakan salah seorang isteri Sultan. Sultan Muzaffar Syah berkenan untuk menceraikan isterinya itu demi kestabilan politik dan Tun Kudu juga telah bersetuju untuk berkahwin dengan Tun Ali, demi kesejahteraan negara. Pengorbanan Sultan Muzaffar Syah dan Tun Kudu tidak sia-sia. Tun Ali dan Tun Perak menjadi sahabat karib dan sentiasa berkerjasama dalam membangunkan Melaka. Tidak lama kemudian, Tun Ali sendiri memohon kepada Sultan untuk melantik Tun Perak sebagai Bendahara. Justeru, Sultan telah melantik Tun Perak sebagai Bendahara dengan gelaran Paduka Raja di sekitar tahun 1456.



Kerajaan Siam, yang berpusat di Ayuthia, berazam untuk menakluki Melaka walaupun serangan mereka sebelum ini melalui jalan darat telah berakhir dengan kekalahan di pihak mereka. Pada tahun 1456, sewaktu pemerintahan Raja Boromo Trilokanat, Siam telah membuat rancangan untuk menyerang Melaka melalui laut. Apabila Kerajaan Melaka mengetahui tentang rancangan ini, ia telah mempersiapkan angkatan lautnya dan membuat keputusan untuk mematahkan serangan Siam di Batu Pahat. Angkatan tersebut diketuai oleh Tun Perak dan dibantu oleh Tun Hamzah, seorang pahlawan yang digelar Datuk Bongkok. Satu pertempuran sengit telah berlaku di antara kedua belah pihak dan ini merupakan peperangan yang pertama bagi Melaka. Namun demikian, Melaka yang mempunyai kelebihan dari segi kemahiran dan pengetahuan telah berjaya menghalau angkatan Siam hingga ke Singapura dan seterusnya memaksa mereka pulang. Kemenangan Melaka dalam peperangan ini telah menyuntik semangat baru dalam menyusun strategi untuk mengembangkan pengaruhnya di kepulauan Melayu. Kemenangan ke atas Siam juga telah membawa kepada kestabilan politik di Melaka dan mengukuhkan lagi reputasinya di Asia Tenggara. Namun demikian, Sultan Muzaffar Syah telah mangkat selepas serangan dari Siam itu pada tahun 1456.



Selepas kemangkatan Sultan Muzaffar Syah, anakandanya Raja Abdullah telah ditabalkan menjadi pemerintah keenam Melaka dan dikenali sebagai Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah mengahwini Tun Putih Nur Pualam, anak kepada Tun Ali dan telah dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Pada awal pemerintahan baginda di Melaka, Sultan Mansur Syah telah mendengar tentang Pahang, yang ketika itu dikenali sebagai Pura, yang terkenal dengan sungainya yang besar, sumber emas dan hutan yang luas.


Namun begitu, Pura berada di bawah pemerintahan sebuah keluarga diraja Siam dan dikuasai oleh kerajaan Siam. Justeru, baginda membuat keputusan untuk menaklukinya dengan menghantar sebuah angkatan yang terdiri dari dua ratus buah kapal, diketuai oleh Tun Perak dan dibantu oleh Tun Hamzah Datuk Bongkok, pemerintah pasukan tentera darat dan pegawai-pegawai tentera yang lain. Sejurus tiba di Pahang, peperangan meletus di antara orang-orang Pahang dan Melaka. Pahang, yang diperintah oleh Maharaja Dewa Sura, telah dapat dikalahkan dengan mudah dan pemerintahnya terpaksa melarikan diri ke utara Pahang menerusi Sungai Pahang. Walau bagaimanapun, beliau berjaya ditawan oleh pihak Melaka dan diserahkan kepada Tun Ali. Angkatan Melaka telah pulang ke Melaka dengan kemenangan dan membawa bersama mereka Maharaja Dewa Sura dan anaknya, Waning Seri atau Onang Seri yang dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah. Ini merupakan kali pertama Melaka menakluki negeri lain. Sultan Melaka melantik Tun Hamzah Datuk Bongkok sebagai wakil baginda untuk mentadbir negeri Pahang. Puteri Waning Seri telah memeluk agama Islam dengan nama Puteri Lela Wangsa dan berkahwin dengan Sultan Mansur Syah. Selain Pahang, beberapa negeri lain seperti Inderagiri, Palembang, Jambi, Lingga dan Tunggal juga berada di bawah penguasaan kerajaan Melaka.



Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, terdapat sembilan orang pemuda yang terkenal dengan keberanian mereka dan oleh itu, telah dilantik oleh Sultan sebagai pegawai tentera baginda. Mereka adalah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hasan dan Husain. Hang Tuah merupakan yang paling cerdik dan berani di antara mereka. Oleh yang demikian, dia telah dianugerahkan gelaran Laksamana oleh Sultan dan dikenali sebagai Laksamana Hang Tuah.
Semasa Sultan Mansur Syah mengadakan lawatan ke Majapahit, beliau telah membawa bersama Laksamana Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Ketibaan mereka telah disambut baik oleh pemerintah Majapahit. Ketika berada di Majapahit, para pegawai tentera Melaka yang terkenal dengan kehebatan mereka, terutamanya Hang Tuah, telah mempamerkan kemahiran mereka dalam penggunaan senjata dan ini telah menarik perhatian penduduk dan pemerintah Majapahit. Pemerintah Majapahit kemudiannya mengahwinkan anaknya, Radin Galuh Cendera Kirana dengan Sultan Mansur Syah. Mereka dianugerahkan seorang putera bernama Radin Kelang. Walau bagaimanapun, Radin Kelang meninggal dunia pada usia remaja akibat ditikam oleh seorang penduduk yang mengamuk di kota Melaka. Pemerintah Majapahit juga telah menyerahkan pemerintahan Inderagiri dan Siatan kepada Sultan Melaka. Ini menguatkan lagi pengaruh Melaka di kawasan tersebut.
Hubungan diplomatik di antara China dan Melaka menjadi lebih akrab pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Sultan telah menghantar Tun Perpatih Putih sebagai utusannya ke China dengan membawa warkah baginda kepada Maharaja China. Maharaja China kagum dengan kemashyuran dan keagungan Sultan Mansur Syah lalu memutuskan untuk mengahwinkan puterinya Hang Li Poh dengan Sultan. Seorang pembesar negeri berserta lima ratus dayang-dayang telah mengiringi puteri Hang Li Poh ke Melaka. Setelah Hang Li Poh memeluk Islam, Sultan pun mengahwininya dan membina sebuah istana untuknya di atas sebuah bukit yang sehingga kini dikenali sebagai Bukit Cina.



Walaupun Sultan Mansur Syah mempunyai tanggapan yang tinggi terhadap Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya, satu peristiwa telah berlaku yang menyebabkan baginda murka kepada Hang Tuah. Ianya berpunca dari satu fitnah terhadap Hang Tuah, menuduhnya mengadakan hubungan sulit dengan salah seorang dayang di istana. Lantas, Sultan menitahkan Tun Ali untuk membunuh Hang Tuah. Namun, Tun Ali menganggap Hang Tuah adalah seorang yang mempunyai keperibadian luar biasa dan tidak harus dipersiakan. Lalu, dia memberanikan diri untuk membohongi Sultan. Tun Ali tidak membunuh Hang Tuah, sebaliknya bertindak menyembunyikannya di sebuah kampung yang terpencil dan melarangnya keluar dari kawasan kampung itu. Tun Ali kemudiannya memberitahu Sultan bahawa Hang Tuah sudah dibunuh. Apabila Hang Jebat, sahabat karib Hang Tuah, mendapat berita tersebut, dia begitu marah lalu membuat noda atas seorang dayang di istana. Walaupun Sultan mengarahkan Hang Jebat dibunuh, namun tiada sesiapapun yang berani berhadapan dengannya. Pada ketika itulah, Sultan terkenangkan Hang Tuah kerana sekiranya dia masih hidup, hanya dia sahaja yang mampu mengalahkan dan membunuh Hang Jebat. Tun Ali kemudiannya memberitahu keadaan yang sebenarnya kepada Sultan, bahawa Hang Tuan tidak dibunuh tetapi disembunyikan olehnya. Sultan memerintahkan agar Hang Tuah dibawa keluar dari tempat persembunyiannya untuk membunuh Hang Jebat. Atas perintah Sultan, berlakulah pertarungan di antara dua sahabat karib yang berakhir dengan kematian Hang Jebat di tangan Hang Tuah.



Apabila Melaka semakin makmur dan ekonominya bertambah maju, Sultan Mansur Syah telah membina sebuah istana yang besar lagi indah di kaki Bukit Melaka. Istana itu merupakan kebanggaan kerajaan Melayu kerana ianya bukan sahaja melambangkan kekayaan, kemajuan dan kekuasaan Melaka malah turut mempamerkan kecemerlangan dan keistimewaan ciri-ciri senibina Melayu. Istana tersebut telah dibina oleh tukang-tukang kayu Melayu di bawah arahan Tun Perak. Walau bagaimanapun, istana tersebut telah hangus di dalam satu kebakaran tidak lama selepas Sultan Mansur Syah mendiaminya. Namun barang-barang berharga yang berada di dalam istana itu sempat diselamatkan oleh pegawai-pegawai istana. Sultan kemudiannya telah mengeluarkan perintah untuk membina sebuah istana baru sebesar dan seindah istana dahulu. Setelah ianya siap dibina, Sultan mendiami istana baru itu.
Melaka telah mencapai kemuncak kegemilangannya sebagai sebuah empayar pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Ia bukan sahaja kaya dan makmur hasil dari kemajuan perdagangannya, malah ia telah berjaya menakluki beberapa buah negeri di kepulauan Melayu sebagai jajahan empayarnya. Pemerintah dari negeri-negeri ini akan datang ke Melaka selepas perlantikan mereka bagi mendapatkan restu dari Sultan Melaka. Mana-mana pemerintah yang telah digulingkan di negeri sendiri turut datang ke Melaka bagi mendapatkan bantuan Sultan untuk memperolehi kembali kekuasaan mereka. Salah satu contoh adalah ketika Sultan Zainal Abidin, pemerintah di Pasai yang telah digulingkan oleh kaum kerabatnya sendiri, telah datang ke Melaka dan merayu kepada Sultan Mansur Syah untuk membantunya mendapatkan semula takhtanya. Sultan menghantar sepasukan tenteranya ke Pasai, yang kemudiannya berjaya mengalahkan orang Pasai. Justeru, Sultan pun melantik semula Sultan Zainal Abidin sebagai pemerintah di Pasai. Walaupun kemenangan ini tidak menjanjikan kesetiaan pemerintah di Pasai kepada Melaka, ianya jelas mempamerkan keupayaan dan keadilan Sultan Melaka dan juga sikap saling membantu yang wujud di antara pemerintah dan kerajaan.



Kekuatan politik Melaka dapat dilihat melalui suatu peristiwa yang berlaku dalam sebuah permainan bola raga, di mana sepakan bola Tun Besar, iaitu anak Tun Perak, secara tidak sengaja terkena Raja Mohammad, anakanda Sultan Mansur Syah. Bola itu terkena tanjak Raja Mohammad, lalu ia jatuh ke tanah. Dalam kemarahan, Raja Mohammad dengan serta-merta menikam dan membunuh Tun Besar. Kejadian ini telah mencetuskan kemarahan di kalangan ahli keluarga Tun Besar yang mahu membalas dendam dengan membunuh Raja Mohammad. Namun demikian, Tun Perak telah berjaya menghalang mereka dari meneruskan tindakan khianat itu dengan mengisytiharkan bahawa dia tidak lagi dapat menerima Raja Mohammad sebagai pewaris kepada Sultan. Akibat dari peristiwa ini, Sultan Mansur Syah mengarahkan anakandanya itu meninggalkan Melaka dengan melantiknya sebagai pemerintah di Pahang. Peristiwa ini jelas menunjukkan kesetiaan Tun Perak kepada Sultan, keadilan Sultan kepada rakyatnya, kasih sayang baginda kepada anakandanya, perlaksanaan hukuman ke atas pesalah serta kekuatan seorang Sultan yang ditaati.



Melaka mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Ramai peniaga dan pedagang dari merata tempat, telah datang ke Melaka untuk berniaga. Melaka juga merupakan sebuah pusat pengembangan ajaran Islam di kepulauan Melayu. Banyak negeri di semenanjung tanah Melayu, kepulauan Riau-Lingga dan Sumatra berada di bawah naungan Melaka, antaranya ialah Pahang, Sungai Ujung, Jeram, Langat, Inderagiri, Palembang, Jambi, Lingga, Tungkal, Siantan, Brunei, Bentan, Kampar dan Siak.
Namun, ketika Melaka berada di kemuncak kecemerlangannya, Sultan Mansur Syah telah mangkat pada tahun 1477 setelah memerintah Melaka selama dua puluh satu tahun. Baginda sememangnya termasyhur sebagai seorang pemerintah Melayu yang banyak menyumbang dalam mempertahankan kedaulatan Melayu.


Selepas kemangkatan Sultan Mansur Syah, anakandanya Raja Hussain telah ditabalkan sebagai pemerintah ketujuh Melaka, menggunakan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda masih muda ketika ditabalkan dan cukup terkenal dengan kekuatan dan keberaniannya. Pada awal pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, banyak kejadian rompakan dan kecurian telah berlaku di Melaka sehinggakan laporan tentang kejadian sedemikian diterima pada setiap malam. Apabila Sultan dimaklumkan tentang perkara tersebut, baginda bertekad untuk menghapuskan ancaman ini dengan menangkap dan menghukum mereka yang bersalah agar rakyatnya dapat hidup dengan aman.


Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, beberapa pemerintah asing termasuklah seorang pemimpin dari Maluku yang telah tewas di tangan musuhnya, seorang pemimpin dari Rokan serta seorang pemimpin dari Terengganu yang bernama Telanai Terengganu, telah datang ke Melaka untuk memberi penghormatan kepada Sultan. Kedatangan mereka telah disambut baik oleh Sultan. Sultan sangat berbesar hati menerima pemerintah dari Maluku itu kerana kemahirannya yang cukup hebat dalam permainan sepak raga.
Pada tahun 1488, setelah memerintah Melaka selama sebelas tahun, Sultan Alauddin Riayat Syah mangkat pada usia tiga puluh tahun. Baginda kemudiannya turut dikenali sebagai Marhum Berdarah Putih dan dimakamkan di Pagoh, berdekatan dengan Muar. Namun, tiada penjelasan mengapa Sultan Alauddin dimakamkan di Pagoh, yang terletak agak jauh dari Melaka. Ini mungkin kerana Pagoh sudah lama mempunyai kaitan dengan pemerintah Melayu di Melaka. Beberapa makam pemerintah Melayu yang lain juga terletak di Pagoh.


Selepas kemangkatan Sultan Alauddin Riayat Syah pada tahun 1488, anakandanya Raja Mahmud ditabalkan sebagai pemerintah kelapan Melaka. Baginda menggunakan gelaran Sultan Mahmud Syah dan masih muda ketika ditabalkan sebagai pemerintah Melaka. Oleh yang demikian, Melaka diletakkan di bawah pentadbiran Tun Perak, yang dibantu oleh pembesar-pembesar yang lain. Pembesar-pembesar Melaka terdiri daripada Tun Tahir Seri Nara Diraja sebagai Bendahari, Tun Mutahir sebagai Temenggung Seri Maharaja yang bertanggungjawab atas keselamatan dalam negeri, Hang Tuah sebagai Laksamana yang memimpin angkatan laut Melaka dan Tun Kerutup Seri Bija Diraja sebagai pemerintah angkatan darat.


Bendahara Paduka Tun Perak meninggal dunia pada tahun 1498 setelah berkhidmat di bawah empat orang Sultan Melaka, iaitu Sultan Muzaffar, Sultan Mansur, Sultan Alauddin dan Sultan Mahmud. Sultan Mahnud Syah kemudian melantik Tun Perpatih Putih, adik kepada Bendahara Paduka Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang baru dan dikenali sebagai Bendahara Putih.
Apabila Sultan Mahmud meningkat dewasa, baginda mengahwini saudara sepupunya, anakanda kepada Sultan Pahang, Sultan Muhammad Syah. Mereka dikurniakan dua orang puteri dan seorang putera yang bernama Raja Ahmad. Apabila Bendahara Tun Perpatih Putih meninggal dunia, Sultan Mahmud melantik Tun Mutahir Temenggung Seri Maharaja, adik kepada ibundanya sebagai Bendahara Melaka yang baru dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja. Anaknya Tun Hasan pula dilantik menjadi Temenggung dengan gelaran Temenggung Tun Hasan.



Kota Melaka semakin berkembang maju dengan kedatangan pedagang-pedagang asing selepas perlantikan Tun Mutahir. Ini adalah kerana kebijaksanaan dan kelancaran pentadbiran Bendahara Seri Maharaja dan kebolehannya menarik pedagang-pedagang asing untuk datang ke Melaka.
Apabila isteri Sultan Mahmud, puteri Pahang, mangkat, baginda berhasrat untuk mengahwini seorang puteri yang rupawan yang dipercayai tinggal di Gunung Ledang. Puteri itu telah menetapkan beberapa syarat yang perlu ditunaikan oleh Sultan Mahmud sebelum baginda dapat mengahwininya dan syarat-syaratnya termasuklah sejumlah besar emas dan perak serta semangkuk darah Raja Ahmad, putera Sultan yang masih kecil. Oleh kerana tidak sanggup memenuhi syarat yang terakhir itu, Sultan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasratnya mengahwini puteri tersebut. Walau bagaimanapun, sukar untuk dipastikan samada peristiwa ini benar-benar berlaku atau hanya sekadar satu lagenda. Namun, kisah ini kerap diceritakan secara turun temurun di kalangan orang-orang Melayu Melaka dan Johor.
Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah, Laksamana Hang Tuah telah meninggal dunia pada usia yang lanjut. Beliau telah diberikan acara pengkebumian rasmi dan disemadikan di Tanjung Keling, Melaka. Sultan kemudiannya melantik Khoja Hasan, menantu kepada Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka yang baru dan dikenali sebagai Laksamana Khoja Hasan.



Di sekitar tahun 1500, Melaka masih berada di kemuncak kekuasaan dan kegemilangannya. Kota Melaka menjadi pusat empayar Melayu yang unggul dan juga pusat perdagangan bagi kain dari India, tembikar dan sutera dari China dan rempah ratus dari kepulauan Melayu, serta markas aktiviti pengembangan Islam di kepulauan Melayu.
Pada tarikh 11 September 1509, semasa pemerintahan Sultan Mahmud dan Tun Mutahir sebagai Bendahara, satu angkatan Portugis yang terdiri daripada lima buah kapal besar yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira telah mendarat di pelabuhan Melaka. Kedatangan orang-orang Portugis ini membawa petanda buruk kerana sejurus kemudian bermulalah keruntuhan dan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.



sekian by oja setiawan

st 12



syng lhr btn

yang pntng halal

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms